√ Sakit Gigi Ketika Musim Wabak COVID-19 - Adarain

Sakit Gigi Ketika Musim Wabak COVID-19

Bagaimana jika anda sakit gigi ketika musim wabak COVID-19 ini?

Umum mengetahui sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, klinik pergigian tetap beroperasi seperti biasa.

Namun bagi mengurangkan risiko penyebaran virus corona ini, klinik pergigian menghadkan penerimaan pesakit hanya kepada kes-kes kecemasan pergigian sahaja.

Sakit Gigi Ketika Musim Wabak COVID-19
sekadar gambar hiasan

Apa yang dimaksudkan dengan masalah pergigian kecemasan?


  • Sakit gigi yang teramat sangat sehingga mengganggu tidur serta aktiviti harian.
  • Jangkitan pada gigi sehingga menyebabkan gusi serta muka bengkak (abscess dan facial cellulitis).
  • Kemalangan sehingga menyebabkan gigi atau tulang rahang muka anda patah.
  • Dawai braces tercabut sehingga menyucuk pipi/gusi.
  • Crown/bridge/gigi palsu patah sehingga mengganggu fungsi makan. 

Bagi anda yang mengalami sakit gigi yang tidak begitu serius dan masih boleh ditahan, anda boleh amalkan langkah-langkah berikut bagi membantu meredakan kesakitan yang dialami serta membantu anda untuk sekurang-kurangnya bertahan sehingga Perintah Kawalan Pergerakan ini berakhir bagi membolehkan anda pergi ke klinik gigi bagi mendapatkan rawatan.

Langkah Meredakan Kesakitan Gigi



  • BERUS GIGI BERSIH-BERSIH terutama pada bahagian gigi yang sakit tersebut (biasanya gigi berlubang/rosak teruk). Pastikan tiada sisa makanan yang berkumpul di kawasan itu. Pengumpulan sisa makanan inilah sebenarnya yang menjadi punca utama gigi yang berlubang tersebut terasa sakit kerana aktiviti kuman secara langsung terhadap saraf gigi. 
  • Floss/benang gigi juga boleh digunakan sebagai tambahan bagi mengeluarkan sisa makanan terutama di celah-celah gigi untuk mengurangkan gejala rasa sakit.
  • Anda juga boleh berkumur-kumur dengan air suam yang dicampur dengan sedikit garam. Mahu berkumur-kumur dengan ubat kumur seperti Oradex atau Oral B juga boleh. Langkah ini bagi membantu membasmi kuman yang berada di celah-celah gigi dan pada lubang gigi yang tidak dapat dicapai sepenuhnya oleh berus gigi.
  • Tuam pipi anda pada bahagian yang sakit dengan menggunakan ketulan ais (cold compress). Langkah ini juga boleh membantu anda mengurangkan rasa sakit yang anda alami buat sementara waktu.
  • Makan ubat penahan sakit (pain killer) dan kemudian tidur/berehat. Antara ubat tahan sakit yang boleh anda beli di farmasi tanpa preskripsi doktor adalah seperti Panadol, Ponstan, Voltaren serta Ibuprofen. Ini dapat membantu meredakan rasa sakit anda buat sementara waktu.


Namun, jika kesakitan anda semakin bertambah, diikuti dengan gejala demam atau bengkak pada gusi serta wajah, anda dibenarkan untuk pergi ke klinik pergigian yang berhampiran bagi mendapatkan pemeriksaan serta rawatan lanjut walaupun Perintah Kawalan Pergerakan masih belum tamat. Ini kerana kes anda sudah termasuk dalam kategori kes pergigian kecemasan.

JANGAN SESEKALI MENCUBA PETUA YANG BUKAN-BUKAN KERANA DIKHUATIRI DAPAT MENYEBABKAN KESAKITAN SERTA KEROSAKAN GIGI ANDA MENJADI SEMAKIN PARAH.

Gigi yang telah rosak tetap perlu diperiksa dan dirawat oleh doktor gigi di klinik pergigian. Apa yang saya kongsikan di atas cumalah sekadar membantu anda mengurangkan rasa sakit buat sementara waktu di saat negara sedang mengalami ancaman COVID-19 yang semakin serius ini.

Oh ya satu lagi jika anda mengalami sakit gigi yang teramat sangat sehingga mengalami demam atau bengkak pada wajah pada waktu malam atau ketika hari cuti, anda juga boleh pergi ke bahagian kecemasan di hospital untuk mendapatkan bantuan. Di sana ada doktor gigi yang standby ataupun “oncall” yang bertugas untuk membantu anda di luar waktu pejabat/hari cuti.

Mari kita sama-sama berdoa supaya wabak COVID-19 ini cepat-cepat berlalu supaya kita dapat kembali melakukan aktiviti serta kerja harian kita seperti biasa.

Kongsikan jika anda rasa tulisan ini membantu terutama bagi mereka yang sedang mengalami sakit gigi.

Semoga bermanfaat! info ini dibawakan oleh Dr Mohd Khairul Izwan ~ Jangan lupa untuk folow telegram Cakna Gigi - https://t.me/caknagigi

Get notifications from this blog